Assalamualaikum,

Siang Jadi SPRM, Malam Jadi Youtuber | Lama tak menulis santai, menulis ringkas mengenai hal seharian. Kalau diikutkan setiap hari ada je perkara yang ingin dirakam di dalam blog ini. Kalau dulu blog ini lebih kepada diari harian. Tapi sekarang memang kekangan masa untuk menulis. Anak-anak makin membesar. Balik dari kerja kena ada masa untuk diperuntukkan untuk mereka. Kami banyak bersembang. Bersembang dengan anak-anak kecil ni seronok sebenarnya. Bermacam-macam keletah dan idea mereka bercakap. Mengalahkan orang dewasa.



Pagi tadi dalam perjalan ke sekolah adik Wazif bertanya sekiranya ingin menjadi seorang youtuber bila waktu perlu bekerja. Yaya jawab, youtuber ni masa bekerja tak tentu masa. Ikut masa sendiri.

Adik kata,

'Bila adik besar, siang adik nak jadi SPRM, malam adik nak jadi youtuber'. 

Gelak besar Yaya dengar cita-cita adik. Teringat lama dulu dia pernah tanya Yaya apa itu rasuah. Anak kecil yang baru masuk 6 tahun dah faham apa itu rasuah, apa itu SPRM. Pemahaman yang ringkas sajalah mengikut tahap umur adik. Tak sangka pula Yaya dia menyimpan cita-cita untuk bekerja di bawah SPRM. Haha. 

Boleh pula dia tanya ibu,

'Kenapa ibu tak bekerja dekat SPM?'

SPM? apa tu.. Selamat Pagi Malaysia katanya. Mesti seronok kalau ibu bercakap-cakap di SPM, keluar TV. haha. Nak suruh ibu jadi pengacara TV rupanya. Haha..gelak je Yaya pagi tadi. Mana adik tahu mengenai SPM dan SPRM pun Yaya tak pasti. Nak kata daripadaTV, memang jarang sekali tengok tv. Tapi nak jadi youtuber tu dia ikut cita-cita abang Wafiq. Abang Wafiq kata besar nanti nak kerja sendiri, nak jadi youtuber.

Alahai anak-anak. Masa kecil ni macam-macam lah cita-cita korang ye. Ibu sedia tadah telinga mendengar cita-cita korang yang kemungkinan besar akan bertukar saban tahun. Hihi.

Kenali potensi anak dan gilap bakat mereka.


Sebagai ibu bapa, jangan sesekali menyekat minat anak-anak. Sentiasa memberi dorongan dalam setiap bidang yang anak lebih cenderung. Setiap anak mempunyai kebolehan dan potensi yang berbeza.  Kenali potensi anak dan bantulah mereka. Mana tahu akan datang kebolehan itu lah yang menjadi kerjaya mereka. 

Tidak semua dianugerahkan cemerlang dalam bidang akademik. Jangan pula kita sebagai ibu bapa memberi tekanan kepada mereka. Kurang dalam pelajaran pasti ada kelebihan di mana-mana. Gali dan gilap, itulah tugas kita sebagai ibu bapa. 

Sama-sama kita bantu anak-anak kita. Semoga dewasa kelak mereka gembira dengan kerjaya yang dipilih. Bila kerja happy dah tentulah ikhlas. Barulah kerja menjadi ibadah.