Bukan setakat berbalah, sampai terjadi kes bunuh pun ada. Kerana harta manusia hilang pertimbangan. Bab pusaka adik-beradik bergaduh sesama sendiri, mertua bermasam muka dengan menantu, datuk dan nenek ambil harta bahagian cucu. Macam-macam lah kes terjadi. Kerana harta manusia jadi gelap mata hingga ada nasib yang tak terbela. Pertelingkahan pembahagian harta pusaka dalam keluarga boleh dielak jika pemilik harta merancang pewarisan demi kelangsungan hidup waris-waris di masa hadapan.

Buat Pewarisan Harta, Jangan Berbalah Rebut Harta Pusaka

hibah dan wasiat harta pusaka

Kematian adalah rahsia Allah. Mungkin esok atau mungkin hari ini. Yaya nak menulis mengenai wasiat dari sisi tanggungjawab seorang isteri.

Apabila kematian suami, apatah lagi kematian secara mengejut tanpa sebarang tanda masalah kesihatan pastinya satu dugaan yang amat berat. Isteri ditinggalkan bersama anak-anak yang perlu ditanggung seorang diri. 

Kebiasaannya isteri sedar je akan kepentingan wasiat ni. Tapi asyik tangguh je dari sehari ke sehari. Bila suami dah tiada di sisi barulah nak tersedar. Nasi dah jadi bubur. Jika suami meninggal dunia dan meninggalkan harta tanpa membuat wasiat, maka semua harta-harta yang ditinggalkan adalah merupakan harta pusaka yang akan diwarisi oleh isteri dan waris-waris lain mengikut hukum faraid.

Rancang Pewarisan Harta Untuk Kelangsungan Masa Hadapan

Isteri selalu meletakkan tanggungjawab pewarisan harta ke atas bahu suami kerana memikirkan itu adalah tanggungjawab ketua keluarga. Salah tu fikir macam tu...semasa sihat ini lah, kita sebagai isteri kena kerap ingatkan suami mengenai perancangan pewarisan harta. Kena bincang dengan suami mengenai harta yang ada dengan jelas.

Ini bukan sikap pentingkan diri. Tetapi ini adalah langkah awal  yang perlu diambil supaya isteri dan anak-anak dapat meneruskan kelangsungan hidup setelah kematian suami. 

Contoh situasi yang selalu kita dengar, berebut rumah antara keluarga belah suami dan isteri. Banyak kes yang terjadi melibatkan pasangan suami isteri yang membeli rumah atas nama bersama dan apabila suami meninggal, isteri sebagai pemilik bersama hanya memiliki 50 peratus bahagian ke atas rumah berkenaan, manakala baki 50 peratus lagi perlu dibahagikan mengikut hukum faraid.

Masalah terjadi apabila keluarga suami tutut menuntut hak bahagian suami ke atas rumah tersebut. Kalau tiada kata sepakat mahkamah akan perintahkan rumah itu untuk dijual dan hasil dibahagikan mengikut peratus yang ditetapkan. Sedangkan itu lah satu-satunya rumah yang ada untuk isteri dan anak-anak berteduh. 

Keluarga belah suami tak salah pun mengikut hukum. Yang salah adalah suami kerana tak menguruskan harta dengan betul semasa hayatnya.

Sekiranya membuat pewarisan harta sedikit sebanyak dapat membantu nasib isteri dan anak-anak. Jadi, sebelum terlambat senaraikan semua harta, sediakan fail peribadi dan buat perancangan pewarisan, buat hibah ke atas isteri.

Kepentingan Membuat Wasiat

Apa itu wasiat?

Wasiat adalah iqrar seseorang yang dibuat pada masa hayat ke atas hartanya untuk disempurnakan selepas kematiannya bagi maksud kebajikan yang dibenarkan menurut Hukum Syarak.

Dalil mengenai wasiat

Bagi orang laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan
(Surah Al-Nisa’: 7)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Seseorang muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, tidak sepatutnya tidur selama dua malam, melainkan dalam keadaan wasiat telah siap ditulis di sisinya.
(Riwayat Al-Bukhari)

Melalui hadis di atas, jelas menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan wasiat dibuat bila mana telah terlintas di hati untuk membuat sesuatu wasiat.

Kepentingan membuat wasiat

1. Melakukan amal jariah pada kadar 1/3 bahagian harta pusaka kepada anak angkat, anak tiri, orang bukan Islam dan orang yang terhalang mewarisi pusaka.
2. Menyatu padukan ahli waris supaya terus kekal harmoni dengan adanya pemudahcara (Wasi).
3. Melantik Wasi (Pentadbir) dalam menguruskan harta pusaka mengikut hukum syarak dan undang-undang.

Apakah Jenis Harta Yang Boleh Diwasiatkan?

  1. Asset Tunai seperti kenderaan, wang tunai, wang simpanan, barang kemas, syer, insurans, hutang dan lain-lain.
  2. Asset Tetap seperti rumah, tanah, bangunan dan lain-lain. 
Sekiranya anda ada harta-harta seperti dinyatakan, bolehla mula membuat wasiat. Dengan membuat wasiat, sebenarnya sedikit sebanyak dapat membantu waris yang bakal ditinggalkan dan pemilik harta juga boleh membuat amal jariah.

Lantikan Wasi Kepada Wasiat Umat Islam

Wasi adalah seorang yang dilantik oleh pewasiat untuk mentadbir harta pusaka peninggalannya semasa beliau masih hidup. Sebaik-baiknya Wasi yang dilantik mempunyai tahap integriti yang tinggi supaya boleh diterima oleh semua waris.

Lantikan Wasi bagi melaksanakan wasiat itu adalah tidak kurang pentingnya kerana mereka bertindak sebagai pemudah cara dan pendamai selain daripada melaksanakan jariah si mati dan membahagikan harta pusaka untuk meneruskan kesinambungan kehidupan. 

MAIS adalah agensi utama agama Islam dalam negeri Selangor berbidangkuasa untuk bertindak sebagai wasi kepada wasiat umat Islam.  Orang ramai dialu-alukan untuk membuat wasiat di MAIS dan MAIS juga mempunyai perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti hibah, pengamanahan dan harta pusaka.

buat wasiat online di MAIS


Untuk maklumat lanjut boleh layari www.mais.gov.my