Bayar Zakat Perniagaan Di Lembaga Zakat Selangor

Bayar Zakat Perniagaan Di Lembaga Zakat Selangor | Umum mengetahui zakat terbahagi kepada dua iatu Zakat Fitrah dan juga Zakat Harta. Kali ini Yaya ingin berkongsi mengenai Zakat Perniagaan. Zakat Perniagaan merupakan salah satu zakat di bawah Zakat Harta.

Sekiranya korang ada menjalankan perniagaan wajib ambil tahu mengenai zakat perniagaan. Yaya akan jelaskan dengan terperinci apa itu zakat perniagaan, kaedah pengiraan zakat perniagaan, perkara-perkara yang diambil kira dalam kiraan pelarasan samaada yang ditambah ataupun dibenarkan untuk penolakan.

Samaada korang mempunyai syarikat sendiri, menjalankan perniagaan atas talian, menjadi ejen ataupun stokis, mahupun penjaja kecil-kecilan, sekiranya cukup syarat wajib ke atas korang untuk membayar zakat perniagaan.

Zakat Perniagaan


Apa Itu Zakat Perniagaan?

Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada yang melibatkan barangan atau perkhidmatan.

Bentuk-bentuk perniagaan ialah :
  1. Perniagaan Persendirian (milikan tunggal)
  2. Perniagaan Perkongsian (perkongsian sesama Islam atau bukan Islam)
  3. Perniagaan Syarikat (koperasi atau perniagaan saham dan sebagainya)
Firman Allah (Surah Al-Baqarah : Ayat 267)

Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.

Allah menjelaskan bahawa segala ‘hasil usaha yang baik’ itu wajib dizakat. Oleh itu, bagi sesiapa yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu profesion, maka itu juga termasuk dalam ‘hasil usaha’ yang wajib dizakat.

Lembaga Zakat Selangor

Syarat Wajib Zakat Perniagaan

  1. Islam - Perniagaan yang mempunyai pemilikan bercampur antara Muslim dengan bukan Muslim, hanya bahagian pemilikan dan kepentingan orang islam sahaja yang dikenakan zakat
  2. Milik Sempurna - Harta yang dikenakan zakat mestilah ada kesempurnaan dari segi pemilikan (hak milik aset) dan keupayaan mengurus (tasarruf) iaitu mempunyai kuasa penuh ke atas harta.
  3. Cukup Haul - Genap setahun perniagaan.
  4. Cukup Nisab - Paras minima yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan zakat. Nisab adalah bersamaan dengan nilai 85 gram emas semasa.
  5. Harta Berkembang - Harta yang berkembang secara hakiki (cth: haiwan ternakan, hasil tanaman, barang ternakan) atau harta yang berkembang dengan sebab boleh diusahakan (cth:emas, perak atau tanaman, ternakan dan lain-lain harta yang diusahakan secara komersial).
  6. Niat Berniaga - Berniat untuk mendapatkan perolehan dan keuntungan. Ia juga perlu dibuktikan dengan amalan.
  7. Barangan / Perkhidmatan Yang Halal - Perniagaan yang halal sahaja yang diwajibkan zakat.
  8. Bukan Untuk Kegunaan Sendiri

Kaedah Pengiraan Zakat Perniagaan

Terdapat 3 kaedah yang boleh diguna pakai untuk pengiraan zakat perniagaan.
  1. Kaedah Modal Kerja
  2. Kaedah Modal Berkembang
  3. Kaedah Untung Rugi

1.) Pengiraan Zakat Mengikut Kaedah Modal Kerja

Sesuai digunakan untuk Syarikat Berhad, Sdn. Bhd., Koperasi, Enterprise, Trading dan sebagainya di mana terdapat pengkelasan Aset Semasa dan Liabiliti Semasa.

Ia mengambil kira kedudukan Harta Semasa perniagaan ditolak dengan tanggungan semasa perniagaan dan dibuat pelarasan dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan zakat yang perlu diambil kira. 
Aset Semasa – Liabiliti Semasa +/- Pelarasan = Harta Perniagaan Yang Tertakluk Kepada Pengiraan Zakat

2.) Pengiraan Zakat Mengikut Kaedah Modal Berkembang

Sesuai digunakan bagi Institusi Kewangan dan Perbankan Islam, Takaful dan Syarikat Berhad di mana tiada pengkelasan Aset Semasa dan Liabiliti Semasa.

Ia mengambil kira ekuiti pemilik entiti perniagaan tersebut, sumber-sumber pembiayaan kewangan dan dibuat pelarasan sama ada dicampur atau sebaliknya. Di dalam istilah yang lebih ringkas ialah Modal dicampur dengan Keuntungan.
Ekuiti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang – Aset Tetap – Aset Bukan Semasa +/- Pelarasan = Harta Perniagaan Yang Tertakluk Kepada Pengiraan Zakat

3.) Pengiraan Zakat Mengikut Kaedah Untung Rugi

Sesuai digunakan bagi jenis perniagaan yang tiada akaun atau penyata kewangan seperti peniaga kecil dan runcit contohnya pasar tani, pasar malam, restoran, kedai makan, gerai-gerai makanan dan minuman dan lain-lain perniagaan yang berkaitan.
Hasil / Jualan / Perolehan - Belanja / Kos Yang Ditanggung = Harta Perniagaan Yang Tertakluk Kepada Pengiraan Zakat

Harta perniagaan yang tertakluk kepada pengiraan zakat ialah pada kadar 2.5% (bersamaan @ melebihi paras nisab yang bersamaan dengan nilai 85 gram emas semasa)


Liabiliti Semasa YANG DIBENARKAN Tolakan

Menurut pendapat Imam Syafie – Tidak ada syarat hutang dalam menentukan sama ada harta tersebut layak nisab ataupun tidak. Menurut pendapat Syafie hutang kewangan (bukan liabiliti perdagangan) tidak menghalang kewajipan zakat.:

Bagi memenuhi nisab, liabiliti semasa yang boleh ditolak adalah yang ianya bersifat operasi sahaja termasuk:
  • Pemiutang Perdagangan (Trade Creditors).
  • Kos operasi (Operation Payables) seperti gaji, elektrik, telefon.
  • Cukai.

Pelarasan Yang DIBENARKAN Tolakan

Pelarasan yang dibenarkan untuk tolakan adalah seperti  item-item berikut:
  • Barang-barang Tidak Wajib Zakat - Hendaklah dikeluarkan seperti barang-barang dan hasil yang haram umpama riba, judi dan arak.
  • Bukan Milik Sempurna - Bayaran deposit air, deposit telefon, elektrik dan lain-lain yang seumpamanya hendaklah ditolak kerana ia tidak memenuhi syarat-syarat milik sempurna. (Zakat hanya tunduk kepada penerima deposit yang berkenaan seperti Telekom, TNB).
  • Si Penghutang Kewangan - Wang yang dipinjamkan akan dikenakan zakat atas si peminjam berdasarkan bahawa ciri-ciri milik sempurna aset tersebut berpindah ke si peminjam. Si peminjam berkuasa dan bebas untuk menguruskan wang itu untuk sebarang tujuan dan mendapat manfaat di atas pinjaman itu.
  • Tiada Item Yang Dikenakan Zakat Dua Kali - Nilai dividen yang sudah dibayar zakat oleh syarikat yang dilaburkan akan ditolakkan.
  • Aset Semasa Mestilah Yang Produktif - Hutang lapuk, stok lupus, penurunan nilai yang ketara & kekal hendaklah ditolak.
  • Tabung-tabung Yang Bersifat Kebajikan - Tabung bagi tujuan kebajikan seumpama khairat, pendidikan yang terdapat dalam aset semasa akan dikecualikan dari zakat. Walaubagaimanapun, tabung kebajikan yang bersifat pusingan seperti pinjaman Qardhul Hassan, amaun yang dikecualikan zakat adalah nilai pokok yang dimanfaatkan manakala bagi tabung kebajikan yang bersifat ‘hangus’ melalui pemberian derma, khairat maka hanya nilai baki tabung yang dikecualikan.
  • Bagi Kategori Inventori / Stok - Barangan akhir siap sahaja diambil kira; manakala stok bahan mentah serta kerja dalam proses tidak diambil kira.

Pelarasan Yang TIDAK DIBENARKAN Tolakan

Pelarasan yang tidak dibenarkan untuk tolakan adalah seperti  item-item berikut:
  • Bukan berbentuk operasi perniagaan iaitu ‘financial loans’ dan pengkelasan semula pinjaman berjangka.
  • Dividen yang dicadangkan (Dividend Payable).
  • ‘Overdraf’.
  • Pajakan kewangan / modal (financial / capital lease).

Kalkulator Pengiraan Zakat Perniagaan

Cara Kira Zakat Perniagaan

Mungkin ada yang berdepan dengan kesukaran untuk membuat kiraan zakat  perniagaan yang perlu dibayar. 

Untuk perniagaan yang mempunyai penyata kewangan, hanya perlu memasukkan  butiran yang diperlukan. Semua maklumat boleh diperolehi dari penyata kewangan.

Bagi peniaga kecil-kecilan yang tiada penyata kewangan, seharusnya korang ada merekodkan hasil jualan serta kos yang ditanggung sepanjang tahun. 

Untuk lebih memudahkan, gunakan kalkulator pengiraan zakat perniagaan.

Pembayaran Zakat Secara Online

Untuk lebih selamat, mudah dan pantas korang digalakkan untuk membuat pembayaran zakat secara atas talian (online).

Ada beberapa pilihan saluran pembayaran. Bayaran zakat boleh dibuat melalui  'e-Zakat Pay', menggunakan channel myeg, Pos Malaysia, online banking ataupun 'e-wallet' yang terpilih.

Pembayaran Zakat Online

Di entri yang lepas Yaya ada kongsikan langkah-langkah untuk membuat bayaran zakat secara online. 
Boleh baca entri cara bayar zakat online untuk rujukan.

Layak Untuk Mendapat Tolakan Cukai

Syarikat yang membayar zakat perniagaan layak untuk mendapat tolakan cukai 2.5% daripada Pendapatan agregat. 

Pelepasan cukai yang diberikan mesti ikut tarikh dan tahun bayar seperti yang tertulis dalam resit. Jika korang bayar zakat pada tahun 2020, maka anda layak dapat pelepasan cukai syarikat untuk tahun 2020. 

Tapi jika korang niat bayar zakat 2018, bayar di LZS pula tahun 2020, maka takkan dapat pelepasan cukai 2018.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) Komited Dalam Agihan Zakat


lembaga zakat selangor

Membayar zakat bukan sekadar kewajipan tapi mendidik jiwa menjadi pemurah dan meringankan beban ribuan yang susah. Dalam keadaan sekarang, ramai yang terkesan akibat penularan wabak pandemik Covid-19. 

LZS telah mengagihkan lebih RM230 juta kepada asnaf yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kewajipan Mengeluarkan Zakat

Alhamdulillah, 2.5% daripada harta kita telah membahagiakan mereka. Terima kasih kepada pengeluar zakat melalui LZS. Kerana korang LZS dapat menyantuni 8 golongan asnaf di Selangor.

Berkongsi Rezeki


Untuk lebih info boleh layari laman web dan juga laman sosial Lembaga Zakat Selangor:

Website :


Yaya Azura

Yaya | Blogger Since 2010 | Email : yayaazura82@gmail.com

10 Comments

Terima kasih sudi baca. Komen membina sangat dihargai. Komen yang mengandungi 'link', menggunakan unknown profile tidak akan disiarkan. Harap maklum.

  1. nice sharing.. kadang2 ramai terlepas pandang..
    cukup syarat tu wajib keatas ktia membayar zakat.. harta pun kadang2 orang trlupa. semoga berkat semua rezeki kita kurniaanNya..

    ReplyDelete
  2. Good sharing. Kena ambik tahu juga ni sebab k.fiezz pun termasuk dalam kategori meniaga online.

    ReplyDelete
  3. bagusnya perkongsian ini.. sedikit sebanyak membantu fiza untuk memahami apa itu zakat perniagaan..

    ReplyDelete
  4. Zakat ade pelbagai sekrg ye. Hah kene share zkaat perniagaan ni. Ramai bjat peenigaan mungkin tak tau zakat ni

    ReplyDelete
  5. singgah sini.. good info terutama yg baru berjinak dgn perniagaan

    ReplyDelete
  6. Bagus info ni.. Ramai yang belum tahu tentang zakat perniagaan ni..

    ReplyDelete
  7. Perkongsian bermanfaat. Boleh ingatkan perniagaan pun ada zakat.

    ReplyDelete
  8. Alhamdulillah. Saling ingat mengingatkan sesama saudara seIslam satu perbuatan mulia.

    ReplyDelete
Post a Comment
Previous Post Next Post