Virus Influenza, Siapa Je Yang Perlukan Suntikan Flu Ni?

Virus Influenza, Siapa Je Yang Perlukan Suntikan Flu Ni? | Selain musim jerebu, terdapat juga sebab lain untuk rakyat Malaysia menggunakan topeng muka – musim flu. Memakai topeng muka adalah pilihan yang bijak khususnya jika rakan sepejabat atau ahli keluarga terdekat anda sudah mula mengalami simptom flu. Selain alat perlindungan fizikal, terdapat juga pencegahan melalui pengambilan suntikan flu. Persoalannya, siapa yang perlu mendapatkannya?

Apa itu flu?


Influenza atau lebih dikenali dengan terma flu, merujuk kepada penyakit respiratori mudah berjangkit yang disebabkan oleh virus-virus influenza. Penting untuk diingatkan bahawa flu dan selesema adalah dua perkara berbeza. Pelbagai jenis virus boleh menyebabkan selesema tetapi hanya beberapa virus sahaja yang bertanggungjawab untuk menyebabkan flu. Jangkitan boleh merebak apabila seseorang itu terdedah kepada titisan cecair yang tersebar semasa batuk, bersin atau melalui sentuhan dengan tangan/permukaan yang tercemar. Jangkitan melalui titisan cecair dalam udara ini lebih mudah berlaku dalam keadaan tertutup atau bersesak.

Influenza boleh berlaku di mana-mana sahaja di seluruh dunia. Kawasan yang paling teruk terjejas dengan penularan jangkitan ini adalah negara-negara yang berada dalam zon iklim sederhana (temperate climate). Di kawasan tersebut, epidemik influenza lazimnya berlaku ketika musim sejuk, iaitu sekitar bulan November hingga Mac untuk hemisfera Utara dan dari April hingga September di hemisfera Selatan. 

Antara sebab utama mengapa flu lazimnya berlaku ketika musim sejuk adalah seperti berikut:


  1. Majoriti individu akan menghabiskan masa yang sangat banyak di dalam rumah bersama dengan individu lain ketika musim sejuk. Ini meningkatkan kemungkinan sentuhan dan penularan jangkitan untuk berlaku.
  2. Virus tersebut hidup lebih lama dalam kawasan tertutup (indoor) kerana udara yang kurang lembap berbanding udara di luar.
  3. Ketika berada di udara musim sejuk, lebih mudah untuk ia disedut masuk (ketika bernafas) atau terkena mata, hidung dan mulut manusia. 

Penyebab flu


Virus-virus yang menjadi penyebab kepada epidemik influenza adalah seperti berikut:

  • Influenza A 
  • Influenza B
  • Influenza C

Influenza A mampu untuk menyebabkan epidemik manakala virus influenza B pula berupaya untuk menyebabkan wabak yang tular dalam satu rantau (beberapa buah negara). Influenza C pula Influenza C pula mempunyai insiden dan beban penyakit dalam manusia yang paling sedikit berbanding influenza yang lain.

Simptom flu


Selain suntikan flu dan langkah pencegahan lain (penggunaan topeng), penting untuk anda cakna tentang simptom flu. Ini membolehkan anda untuk mengambil langkah berjaga-jaga sekitar orang yang disyaki menghidapnya. 

Antara simptom flu adalah:

  • Demam secara tiba-tiba
  • Menggigil
  • Batuk
  • Sakit tekak
  • Hidung berair dan/atau tersumbat
  • Kerap bersin
  • Sakit sendi
  • Sakit otot
  • Rasa letih dan lesu
  • Sakit kepala
  • Muntah dan cirit-birit (lebih kerap berlaku dalam kanak-kanak)

Penting untuk diingati bahawa bukan semua orang akan mengalami demam atau kesemua simptom-simptom di atas. Penyakit ini mampu mengakibatkan keterukan pada pelbagai tahap (dari sederhana sehinggalah teruk) di samping berupaya untuk menyebabkan kematian. Kaedah pencegahan seperti pengambilan suntikan flu dan juga penggunaan topeng muka adalah kaedah berkesan dalam melindungi diri daripada dijangkiti.

Pemantauan influenza di Malaysia


Untuk negara-negara beriklim tropika seperti Malaysia, insiden penyakit influenza boleh berlaku bila-bila masa sahaja sepanjang tahun. Secara amnya, insiden jangkitan pernafasan (termasuk influenza) di Malaysia sentiasa dipantau rapi oleh pihak Kementeriaan Kesihatan Malaysia (KKM). Pemantauan ini dilakukan bagi mengenal pasti sebarang corak insiden yang luar biasa. Pemantauan ini meliputi kadar konsultasi kes penyakit persis influenza atau influenza-like illness (ILI) dan juga pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat severe acute respiratory infection (SARI).

Sebarang perubahan kepada virus influenza yang terdapat di Malaysia dipantau rapi oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Berdasarkan trend yang direkodkan, rakyat Malaysia mungkin boleh menarik nafas lega kerana peningkatan kes ILI sejak bulan jun 2019 berada dalam julat yang normal. Insiden yang diperhatikan ini adalah hampir sama dengan trend pada tahun-tahun sebelumnya. Lebih melegakan lagi, pemantauan genetik virus-virus ini juga tidak menunjukkan sebarang mutasi yang mampu mencetuskan virus influenza yang baru.

Keperluan suntikan flu


Virus-virus influenza mudah membiak dan menukar ciri antigen mereka. Oleh itu, kebanyakan ubat antivirus yang lama seperti amantadine, tidak lagi berkesan dalam melawan penyakit ini. Berbeza dengan demam atau selesema yang biasa, influenza bukanlah jangkitan yang boleh hilang dengan masa atau dengan sekadar mendapatkan rehat yang mencukupi. Tambahan lagi, di Malaysia, penularan wabak influenza tidak mempunyai musim kerana ia boleh berlaku sepanjang tahun. Untuk itu, suntikan flu adalah langkah perlindungan yang sangat penting dalam mencegah keterjadiannya.

Kumpulan populasi yang berisiko tinggi untuk dijangkiti influenza adalah:

  • Kanak-kanak bawah usia 5 tahun (khususnya bawah usia 2 tahun)
  • Wanita mengandung
  • Warga emas berusia 65 tahun dan ke atas
  • Pesakit yang menghidap penyakit kronik
  • Individu yang menghidap penyakit respiratori

Anda juga sangat disarankan untuk mendapatkan suntikan flu jika merancang untuk melancong ke negara-negara beriklim sederhana. Walau bagaimanapun, terdapat juga kumpulan populasi yang tidak boleh mendapatkan suntikan flu. Mereka adalah:

  • Bayi yang berusia bawah 6 bulan
  • Individu yang mempunyai tindak balas alahan yang teruk terhadap suntikan flu dan bahan yang terkandung di dalamnya

Selain kumpulan di atas, terdapat juga kumpulan khas yang perlu mendapatkan konsultasi doktor terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan untuk menerima suntikan. Mereka adalah:

  • Individu yang alah kepada telur
  • Mereka yang pernah menghidap sindrom Guillain-Barré 

Suntikan flu yang diluluskan adalah berbeza mengikut kumpulan populasi. Sebagai contoh, terdapat vaksin (inactivated influenza vaccines) yang boleh digunakan untuk bayi seawal usia 6 bulan. Terdapat juga suntikan yang hanya diluluskan untuk orang dewasa berusia 18 tahun dan ke atas. Oleh itu, penting untuk anda berunding dengan doktor bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan suntikan yang sesuai dengan usia dan indikasi anda.

Dalam menangani masalah penularan wabak influenza, langkah pencegahan yang mampan adalah amat penting. Persis bidalan, mencegah itu lebih baik daripada merawat. Memilih untuk mengambil suntikan flu bukan sahaja melindungi diri sendiri, ia juga merupakan ihsan kepada golongan masyarakat tertentu yang tidak boleh menerima suntikan. 

Oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab
Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Terima kasih sudi baca. Komen membina sangat dihargai. Komen yang mengandungi 'link', menggunakan unknown profile tidak akan disiarkan. Harap maklum.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post