Singgang Pedas Ikan Kerisi Terengganu Campur Bendi

Resepi Singgang Pedas Ikan Kerisi Terengganu Campur Bendi | Di kawasan Yaya hujan lebat. Kalau tak hujan, gerimis sepanjang hari. Cuaca mendung. Nasib ada juga baju yang dijemur kering sebab angin pun kuat ni. Tengok ada share di Whatsapp kawasan dorang dah naik air, dah banjir. Kesan dari banjir ni bukan sikit. Harta benda rosak, emosi lagi. Semoga korang semua kuat dengan dugaan ni.

Semalam Yaya masak singgang pedas ikan kerisi. Ini lauk pauk tradisi Terengganu. Tak pasti pula negeri lain ada tak masak macam ni. Nak masak singgang pedas ni kena ada ikan kerisi baru ngam.  

Nak membuatnya pun mudah. Bahan pun tak banyak. Korang kalau nak cuba buat, jangan tak cukup bahan. Semua bahan-bahan nak masak singgang pedas ni bahan wajib ada. Hihi..jangan kurang, nak tambah tak apa, ada orang letak bunga kantan. Ada juga yang tambah buah tomato. 


Resepi Singgang Pedas Ikan Kerisi Terengganu

Singgang pedas ikan kerisi Terengganu
Singgang Pedas Ikan Kerisi Terengganu



Bahan-bahan singang pedas ikan kerisi:
  • 5 ekor ikan kerisi
  • 5 biji cili padi
  • 4 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci lengkuas
  • 1/2 inci kunyit
  • 3 cawan air
  • 5 keping asam gelugur
  • 10 biji bendi
  • Beberapa tangkai daun kesum
  • Garam secukup rasa

Cara masak singgang pedas ikan kerisi

1. Siang ikan kerisi dengan membuang sisik. Basuh bersih dan kelar.
2. Masukkan cili padi, bawang merah, bawang putih, lengkuas, kunyit dan 1 cawan air ke dalam pengisar. Kisar halus.
2. Masukkan bahan kisar, asam gelugur, 2 cawan air dan garam ke dalam periuk dan masak sehingga mendidih.
3. Masukkan ikan dan daun kesum ke dalam periuk.
4. Biarkan mendidih lagi dengan perlahan-lahan selama 5 minit. Hidangkan.




Cara Simpan Daun Kesum Tahan Lama


Cara Simpan Daun Kesum




Daun kesum tu wajib. Tak ada daun kesum tak bangkit rasa singgang pedas ni. Rumah mak Yaya banyak pokok daun kesum ni. Segar sungguh. Hari tu mak ada ada bagi seplastik besar daun kesum. Mak kata kalau tak kerat kan kering gitu je. 

Yaya cuci bersih-bersih, letak dalam plastik zipper lock tu, letak air sikit. Satu pack tu untuk sekali masak. Nanti nak guna senang, terus masuk periuk. Kalau tak buat macam ni tak tahan lama daun kesum tu. Dah lah harga pun boleh tahan juga. Daun limau purut, kemangi, bunga kantan pun Yaya simpan macam ni juga.


 Menu Kedua, Ayam Goreng Nestum


resepi ayam goreng nestum



Masak dua menu. Ayam goreng Nestum permintaan adik Wazif. Banyak hari dah minta buat tapi stok ayam dah habis. Cakap kat dia nanti bila ayah pergi pasar, ibu buat ayam nestum untuk adik. ''Ok ibu, buat 50 ketul ye ayam goreng nestum!'' Amboi adik, dah lah ayam mahal sekarang ni.

Ini hidangan anak-anak. Mak ayah pun melayan juga ayam goreng nestum ni. Bau wangi butter dan nestum tu memang tak boleh nak tolak. Ayam tu Yaya goreng guna tepung Bestari je. Kalau rajin boleh celup ayam dalam tepung, kemudian celup dalam telur kemudian celup sekali lagi ayam dalam tepung dan goreng ayam.

Kemudian, panaskan butter hinga cair, goreng bawang putih dan masukkan cili padi kalau suka pedas. Masukkan ayam yang dah digoreng tadi. Tutup api dan masukkan nestum. Gaul sekata. Siap. Dulu kali pertama buat Yaya masukkan nestum dulu sebelum ayam. Tapi nestum je cepat garing jadi Yaya letak akhir sekali selepas tutup api. 

Musim tengkujuh ni lapor je perut ni. Korang masak ape je hari ni? Share lah kat komen, nak tiruuu..hihi. 


Yaya Azura

Yaya | Blogger Since 2010 | Email : yayaazura82@gmail.com

1 Comments

Terima kasih sudi baca. Komen membina sangat dihargai. Komen yang mengandungi 'link', menggunakan unknown profile tidak akan disiarkan. Harap maklum.

Post a Comment
Previous Post Next Post