Ayam Masak Bali Sedap Dan Mudah, Bau Harum Semerbak | Cubaan kali pertama memasak ayam masak bali. Tengok pada bahan-bahan yang diperlukan pun mudah. Semua dah ada. Pokok serai merimbun di tepi rumah. Pokok kari bukan main meghijau naik daun baru. 

Sebelum ni daun walaupun merimbun, tapi ada bintik hitam dan putih pada daun kari. Yaya ingatkan pokok dah 'sakit', terkena jangkitan  ke apa. Rupa-rupanya mak bagi tahu daun jadi macam tu sebab pokok dah tua. Mak ajar pangkas semua dahan, buang semua daun. Jadi tegel dah pokok tapi tak lama, dalam seminggu macam tu je, keluar ranting dan daun baru. Sekarang dah kembali merimbun.

Puasa dua beradik lancar hari ni. Abang Wafiq je nampak sedikit kepenatan. Sampai je rumah dia tertidur. Adik Wazif pula balik dari sekolah bagi tahu Yaya, 'hari ni adik nak lawan rasa lapar'. Memang cergas sungguh adik hari ni. 

Resepi kali ni Yaya rujuk pada resepi Che Nom. Tapi Yaya kurangkan bahan-bahan. Yaya masak ayam dalam 10 ketul kecil je. Masa memasak ayam masak bali ni bukan main harum lagi. Sampai adik Wazif menjengah ke dapur bertanya 'masak apa tu? Ayam Korea ke ibu? Ini Bali mari lah adik..eh di Bali ada ke masakan ayam masak Bali ni? Masakan ni berasal dari Bali ke? 


Ayam Masak Bali


Resepi Ayam Masak Bali

Bahan-Bahan:
  • 1 ekor ayam
  • serbuk kunyit
  • garam secukup rasa
  • 8 batang serai, dititik
  • 6 tangkai daun kari
  • 1 senduk cili kisar
  • 3 sudu besar kicap manis
  • minyak masak
  • gula melaka atau gula pasir
  • sedikit air
  • Bahan-bahan untuk kisar halus:
  • 5 biji bawang besar
  • 10 biji bawang merah
  • 10-12 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 1 inci belacan

Cara Penyediaan Ayam Masak Bali

  1. Gaulkan ayam bersama serbuk kunyit dan garam. Goreng di dalam minyak panas sehingga separuh masak.
  2. Dalam minyak yang sama (kurangkan jika terlalu banyak) anggaran 1 cawan, tumis serai dan daun kari sehingga naik bau.
  3. Masukkan cili kisar dan bahan kisar halus. Masak sehingga pecah minyak.
  4. Masukkan ayam, kicap, gula dan garam secukup rasa. Tuang sedikit air dan kacau perlahan sehingga kuah menjadi pekat. Jika kuah agak kering tambahkan lagi sedikit air.
  5. Apabila kuah sudah pekat dan pecah minyak, angkat dan hidangkan.
Kredit : Che Nom

Penggunaan daun kari dan serai yang banyak tu lah yang jadikan masakan ini berbau semerbak. Menurut Che Nom manu ini bukan hanya sesuai dimakan bersama nasi putih. Tapi makan dengan nasi minyak pun sedap.

Tadi adik Wazif makan licin. Kena selera dia lah tu. Lain hal lah pula dengan abang Wafiq. Dia kata ada bau serai. Pelan-pelan je dia makan. Alahai, ni baru anak dua. Tak kan lah ibu nak masak ikut selera masing-masing. Bulan puasa ni anak-anak oi..bulan tak puasa boleh la ibu melayan. Suap pelan-pelan pun berjaya juga dia habiskan nasi. Hihi.