Masak Lemak Udang Dengan Pucuk Paku, Tak Pernah Bosan | Semalam encik suami ke pasar membeli bahan basah. Begitulah rutin hujung minggu. Dia kalau nampak pucuk paku mesti nak beli, tak pernah bosan makan masak lemak udang dengan pucuk paku. Pucuk paku beli seikat percuma seikat. Tak berapa nak segar, itu yang dapat percuma seikat tu.

Pagi semalam sarapan berat kami 4 beranak. Yaya awal-awal dah tanya, tengah hari nanti nak makan nasi tak. Semua duk cakap kenyang. Seronok weh tak yah masak. Belah petang bawa budak-budak ni keluar jalan-jalan terus cari makan kat luar je lah. Macam tu lah perancangannya.

Masak Lemak Udang Pucuk Paku

Pucuk paku Yaya siang siap-siap. Letak dalam plastik yang dah dialas dengan beberapa helai kertas A4 recycle. Surat khabar lama dah tak ada kat rumah ni. Hihi. Balut sayur dengan kertas. Simpan dalam peti ais. Guna cara ni sayur seperti pucuk kayu, kangkung boleh bertahan 2 ke 3 hari.

Petang tu ke rumah mak. Mak pelawa nasi. Ada lauk masak lemak udang dengan pucuk paku. Tak mampu nak tolak. Dan hari ini lagi sekali makan menu yang sama. Suami suka kita masak je lah ye.

Pucuk paku basuh bersih-bersih.Rendam dalam besen. Jangan main bilas macam tu je. Letak garam kasar dan rendam sekejap. Biar mati semua parasit, kuman dan hilang segala racun. Hihi.

Masak Lemak Pucuk Paku Dengan Udang
Memasak sekejap je, tapi penyediaan bahan-bahan tu lah yang ambil masa.

Jom semak resepi walaupun ramai je tau buat. hehe

Resepi Masak Lemak Udang Pucuk Paku

Bahan Kisar:

1 labu bawang besar
1 ulas bawang putih
10 biji cili padi
1 inci kunyit hidup

Bahan lain:

15 ekor udang saiz sedang
2 ikat pucuk paku
2 batang serai di ketuk
1 kotak santan pekat - 200ml
Air secukupnya
Garam secukup rasa

Cara-cara memasak:
  1. Masak bahan kisar di dalam periuk. Masukkan serai.
  2. Masukkan santan, tambah air secukupnya. Jangan terlebih air, nanti kuah cair pula.
  3. Masukkan udang, pucuk paku. Masak sehingga pucuk paku lembut.
  4. Perasakan dengan garam. Siap.
Masak Lemak Udang Pucuk Paku


Mudahkan nak sediakan lauk ni. Makan dengan nasi panas-panas. Regu pula dengan ikan goreng. Memang gabungan terbaik. 

Selamat mencuba.